Tuesday, December 13, 2011

Tampin Berubah Wajah.

Assalamualaikum.

Cuti panjang(3 hari) hujung minggu baru-baru ini dimanfaatkan sepenuhnya.Walaupun terpaksa pulang lewat pada hari Jumaat untuk menyudahkan pembetulan soalan peperiksaan, namun ia sangat berbaloi.Malam itu sibuk pula berkemas dan membuat senarai semak perkara yang perlu dibereskan dan barang yang perlu dibeli.

Aduh!penatnya bukan kepalang.Maklum sahaja baru masuk kerja semula selepas cuti sakit.Alhamdulillah kesihatan semakin baik,jadi tidak perlu kepada rawatan susulan,alhamdulillah!

Pagi-pagi Sabtu itu meneruskan urusan rumah yang belum selesai.Semua baju kotor sudah siap dibasuh.Diasingkan untuk diampai di rumah ayahbonda nanti.Sampah sudah diletakkan di peti sampah di pintu utama.Plug semua sudah dicabut.

Hari Ahad,misi seterusnya berjaya dilaksanakan.Seperti yang dirancang kami sekeluarga mengambil peluang ke Pekan Tampin untuk membeli kelengkapan sekolah termasuk pakaian seragam sekolah si kembar.Kenapa Tampin?Di mana Tampin?

Inilah peta Tampin.

Tampin merupakan salah satu Daerah di Negeri Sembilan.Nama Tampin diambil sempena bekas mengisi dodol yang dianyam serta diperbuat daripada daun mengkuang.Tampin terletak bersempadan di antara dua negeri iaitu Negeri Sembilan dan Melaka.

Dahulunya Tampin ibarat pekan koboi yang dimeriahkan dengan deretan kedai lorong yang mengekalkan ciri-ciri bangunan tinggalan penjajah.Bangunan yang berusia lebih seratus tahun mewarnai pekan Tampin.Tiada lampu isyarat,ada sebuah sahaja emporium besar,tiada restoran makanan segera,tiada kedai kek,tiada apa-apa(barangkali bagi yang sudah terbiasa kehidupan hiruk-pikuk kota).

Kini,Tampin sudah berubah wajah walaupun tagline Bersih,indah dan selamat kekal sebagai kata pengenalan bagi pekan Tampin.Deretan kedai lorong kini berubah wajah ke Tampin Square.Di situ bangunan kedai dua tingkat menjadi syurga beli-belah di Tampin.Ditambah pula dengan deretan kedai makan,pejabat Zakat, bangunan Tabung Haji,restoran makanan segera dan kedai kain dan pakaian siap semua ada.Pendek kata,lebih murah dan baik kualitinya dari yang saya temui di Pusat Borong Nilai 3 mahupun Pekan Tangkak.

Deretan kedai bertentangannya pula,tidak hanya ada Tampin Shopping Centre seperi dahulu,malahan disertai deretan bank,restoran makanan segera walaupun masih menyimpan kenangan Restoran Melati di situ.Aduhai,kalau sesiapa ke Tampin setelah sekian lama,pasti jantungnya berdebar-debar kerana perubahan yang sudah ketara.

Bertentangan dengan Pejabat Pos Tampinpun diwarnai dengan kedai yang bermacam.Antara kedai yang menjadi tarikan termasuklah Pasraya Ten Ten yang memberi pelbagai pilihan kelengkapan sekolah dan pakaian seragam dengan harga yang wajar.Selain itu,pada kadar pembelian tertentu pembeli ditawarkan dengan skim insuran kemalangan untuk anak-anak yang bersekolah bermula 3 tahun.

Selain Gunung Tampin,Pusat Rekreasi Tampin masih ada.Sayangnya sudah lama tidak ke sana,tidak tahu apakah di sana sudah berubah.Namun jauh dari hadapan Hospital Besar Tampin itu kelihatan kawasan parkir sudah diperluaskan dan suasananya lebih terang berbanding redup dan teduh lebih 20 tahun lalu.

Walaupun Tampin tidak ada pusat pengajian tinggi, namun sekolah-sekolah di sekitar Tampin merupakan sekolah-sekolah yang tidak kurang hebatnya.Pembangunan sekitar Tampin turut merubah wajah SMTB(TBSS) yang sangat terkenal dengan jaguh hoki dan ragbi suatu masa dahulu.Saya masih ingat ketika berusia 12 tahun,itulah tempat terakhir saya mengikuti pertandingan muzik peringkat daerah sebelum bersara dari dunia muzik dan persembahan alat muzik dan koir.Di situ juga sudah ada kelainan kerana berhampiran asrama pusat TBSS sekarang sudah dipenuhi deretan bangunan dua tingkat yang menempatkan Pasaraya Giant,kedai perabot,kedai makan dan sebagainya.Kalau yang pernah bersekolah di sana dahulu tentu rasa aduyai kenapa zaman saya belajar dulu tiada semua ini:)-

Bukan apa-apa untuk menyebut sedikit tentang TBSS,sejarahnya hidup bersama-sama saya kerana 3 daripada adik-beradik saya termasuk arwah abang pernah bersekolah di situ.Saya sendiri hampir-hampir bersekolah di situ suatu masa dahulu.

Ada kelapangan,singgahlah ke Tampin!

Sempadan Tampin-Melaka.
Setakat itu dulu buat kali ini.Jumpa lagi!

No comments:

Post a Comment

Pengalamanku tak semestinya sama dengan pengalamanmu....sama seperti perasaaanku tidak sama seperti apa yang engkau rasakan.....

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails