Thursday, March 28, 2013

Menyusukan di khalayak?

                                       Menyusu Di Khalayak Ramai
 
Sehingga hari ini ummi tidak mengalami masalah yang besar untuk menyusukan di khalayak,cuma tidaklah sampai tidak menjaga batas aurat dan adab sopan Melayu.Jika ada pilihan ummi atau mana-mana ibu pun memang akan memilih untuk menyusukan di surau,bilik penyusuan ibu atau tempat terlindung lain.Namun ada ketikanya kita tidak dapat menjangkakan keadaan untuk kita perlu menyusukan samada dalam kenderaan,di restoran,mahupun di pusat membeli belah atau tempat awam yang lain.

Ibu perlu bersedia untuk semua keadaan itu.Sebenarnya ia jauh lebih mudah berbanding jika perlu menyiapkan susu bancuhan ketika tiba-tiba bayi sudah menangis kelaparan.Kadang-kala susu sudah disediakan,sampai masanya sudah sejuk pula dan lain-lain keadaan.Kita berhak memilih!

Kebanyakan wanita yang baru menjadi ibu merasa gelisah untuk menyusukan bayi di khalayak ramai. Jika anda pun sedemikian, berikut adalah beberapa tip yang boleh membantu anda menyusukan si manja di tempat awam dengan lebih selesa.

Di Malaysia dan di banyak negara lain di seluruh dunia, menyusu susu ibu di khalayak ramai bukanlah satu fenomena yang ganjil atau dilarang. Kementerian Kesihatan Malaysia menggalakkan ibu-ibu untuk menyusukan bayi secara eksklusif sehingga bayi berumur 6 bulan. Penyusuan susu ibu boleh diteruskan sehingga umur 2 tahun atau lebih dengan tambahan makanan pelengkap.

Walaupun dengan galakkan yang kuat bagi pengalaman yang begitu indah dan memuaskan ini, ramai ibu-ibu di Malaysia masih merasa gelisah atau kurang selesa untuk menyusukan bayi di khalayak ramai atau dalam kehadiran ahli keluarga lain.

 
Sebagai masyarakat yang konservatif, ramai yang masih memandang amalan menyusukan bayi di khalayak ramai sebagai sesuatu yang tidak dilakukan.Tambahan pula, menyusukan bayi dengan selesa di khalayak ramai bukanlah satu kemahiran yang boleh disesuaikan dengan cepat oleh kebanyakan ibu. Ramai wanita terkial-kial dengan cara untuk menyusukan bayi di rumah, apatah lagi di tempat awam. Tetapi, jangan bimbang; dengan pengetahuan dan sedikit persediaan, anda pun boleh menyusukan bayi di khalayak ramai dengan yakin dan selesa.
 
Berikut adalah beberapa tip yang boleh membantu apabila bayi anda rasa lapar di tengah-tengah tempat membeli-belah yang sibuk atau semasa anda sedang membuat kerja-kerja di luar:

 • Buat persediaan awal! Apabila meninggalkan rumah dan jika anda tahu destinasi anda, buat perancangan awal seperti di mana tempat yang sesuai untuk berhenti dan menyusukan bayi apabila dia lapar. Dengan begitu, anda tidak perlu panik apabila bayi perlu disusukan.

 • Pakai pakaian sesuai
Terdapat pelbagai jenis pakaian dan coli yang sesuai untuk menyusukan bayi yang boleh membantu anda seperti yang ada kelepet, berbutang atau berbelah. Pakaian-pakaian tersebut dapat mendedahkan payudara secukupnya untuk bayi menyusu dan pada masa yang sama menutupnya daripada pandangan orang ramai. Anda juga boleh membawa sehelai selendang berwarna gelap atau cuba gunakan penyandang bayi sebagai penutup agar tiada sesiapa pun yang perasan anda sedang menyusukan bayi.
Bawa peralatan bersama anda
Anda patut sentiasa bawa semua peralatan seperti kain selendang, selimut atau kain lap untuk menyusukan bayi ke mana-mana anda pergi bagi memudahkan anda apabila ia diperlukan.

 • Cari sudut yang sesuai
Anda perlu bijak memilih tempat yang sesuai untuk menyusukan bayi di khalayak ramai kerana ada sesetengah tempat yang mungkin tidak berapa sesuai. Jika anda berada di gedung besar atau tempat membeli-belah, ambil kesempatan untuk menggunakan bilik penyusuan yang selalunya ditempatkan bersebelahan dengan tandas. Jika anda berada di restoran, cari meja di sudut atau di belakang sebatang pokok atau tiang. Anda juga harus menyerongkan tubuh jauh daripada khalayak ramai atau gunakan kad menu untuk menyelindung diri anda. Jika tiada tempat yang sesuai bagi membolehkan anda menyusukan bayi, pertimbangkan untuk menyusukan bayi di dalam kereta.

 • Berlatih, berlatih, berlatih!
Berlatih akan membuat anda mahir, oleh itu berlatihlah menyusukan bayi secara berselindung di rumah sahabat anda atau di tempat yang lebih terbuka. Anda juga boleh berlatih di hadapan cermin untuk melihat bagaimana rupa anda apabila menyusukan bayi anda.

 • Ketahui hak anda
Ketahuilah bahawa anda mempunyai hak untuk menyusukan bayi anda pada bila-bila masa yang diperlukan. Ia adalah satu proses semulajadi; oleh itu janganlah berasa malu untuk menyusukan bayi secara berselindung di khalayak ramai.

 Menyusukan bayi di khalayak ramai boleh menimbulkan beberapa cabaran kepada anda tetapi ia berbaloi untuk diatasi kerana bayi anda akan mendapat khasiat terbaik daripada anda setiap masa. Berbanggalah kerana anda seorang ibu yang menyusukan bayi dan anda boleh melakukannya!

Oleh: Dr Gan Yoke Cheng, Pakar Paediatrik dan Penasihat Penyusuan Susu Ibu
Artikel ini adalah koleksi dari www.mumdreams.com.my

2 comments:

  1. betul tu ummi.hendak seribu daya,tak nak seribu alasan.. Sebenarnya lagi senang anak menyusu badan..x perlu la nk angkut tarmos la,susu la..bagai..kan? heheheh

    ReplyDelete
  2. hehehe mamafarah,memang mudah dan ringkas kan?Sukar juga mengekalkan BF bagi ibu bekerjaya,tetapi kena lalui juga dengan tenang dan tanpa stres,mudah-mudahan dipermudahkan.

    ReplyDelete

Pengalamanku tak semestinya sama dengan pengalamanmu....sama seperti perasaaanku tidak sama seperti apa yang engkau rasakan.....

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails